Peluang Kerjaya Dalam Sektor Pengangkutan Tawar 3,208 Kekosongan Menerusi Kerjasama MOT & MINDEF

SEREMBAN: Sebanyak 3,208 kekosongan jawatan dalam sektor pengangkutan dikenal pasti menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperluas peluang kerjaya kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menerusi hantaran di media sosial Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), kekosongan jawatan tersebut melibatkan subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan.
Melalui hantaran di media sosial Kementerian Pengangkutan (MOT), inisiatif berkenaan turut disokong menerusi lapan pertukaran Nota Persefahaman (MoU) bersama pemain industri bagi memperkukuh laluan latihan, pensijilan dan penempatan pekerjaan.
“Kerjasama strategik tersebut bertujuan membantu bakal pesara dan veteran ATM memperoleh akses lebih luas kepada peluang pekerjaan selain meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pengangkutan” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memudah cara pengiktirafan kemahiran dan pengalaman pemanduan anggota ATM termasuk menyediakan laluan mendapatkan lesen memandu vokasional yang diperlukan industri.
“Langkah itu mampu membantu meningkatkan kebolehpasaran serta mempercepatkan proses peralihan kerjaya anggota dan veteran ATM ke sektor pengangkutan” katanya.
Kerjasama antara MOT dan MINDEF itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan jasa anggota dan veteran ATM terus dimanfaatkan untuk pembangunan negara.



