Terima kasih N10 Nilai

Bermula hari ini, Dewan Undangan Negeri Sembilan telah dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Sepatutnya tempoh penggal lima tahun ini masih belum berakhir dan masih berbaki lebih dua tahun.
Namun, tindakan 14 ADUN Barisan Nasional yang menarik sokongan secara tiba-tiba terhadap Kerajaan Perpaduan yang ‘Menang Secara Bersama’ pada 27 April 2026 telah menyebabkan keadaan politik kembali tidak stabil.
Demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan negeri terus terpelihara, DUN terpaksa dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri dan mengembalikan mandat kepada rakyat.
Sebagai ADUN Nilai, sejak hari pertama dipilih, saya telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
Dalam tempoh tiga tahun ini, sebagai ADUN Kerajaan Negeri dan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan, pelbagai projek dan program telah dirancang serta dilaksanakan demi kepentingan rakyat di DUN Nilai.
Setiap perancangan dibuat berdasarkan satu penggal pentadbiran, iaitu lima tahun, terutamanya yang melibatkan kelulusan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Walaupun tempoh perkhidmatan ini baru menjangkau tiga tahun, terdapat pelbagai program dan projek yang telah berjaya dilaksanakan untuk manfaat rakyat Nilai, manakala beberapa lagi kini berada pada peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan.

Selain itu, pelbagai bantuan kewangan dan inisiatif bernilai jutaan ringgit telah disalurkan kepada pelbagai organisasi serta individu tanpa mengira latar belakang.
Saya berharap setiap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban penerima dan membawa manfaat kepada organisasi yang menerima sokongan kewangan melalui Pusat Khidmat saya.
Sebagai EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan pula, pelbagai program serta dasar yang memberi manfaat kepada rakyat telah berjaya dilaksanakan.
Namun begitu, terdapat juga beberapa inisiatif baharu di peringkat negeri dan Persekutuan yang masih belum dapat menunjukkan hasil yang sepenuhnya positif kerana tempoh pelaksanaannya terjejas akibat keperluan menghadapi Pilihan Raya Negeri selepas hanya tiga tahun pentadbiran.
Walau apa pun, setiap perancangan memerlukan masa untuk membuktikan keberkesanannya.

Saya berharap segala usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan akan mencapai matlamat yang diharapkan demi kesejahteraan rakyat.
Sama ada saya akan sekali lagi diberi peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Nilai atau tidak, keputusan tersebut akan ditentukan oleh parti dalam masa terdekat.
Saya akan menyenaraikan setiap pencapaian saya sebagai ADUN Nilai dan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan sebagai asas kempen dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, bukannya menggunakan politik kebencian atau sentimen perkauman untuk meraih sokongan rakyat seperti yang diamalkan oleh sesetengah pihak.
Terima kasih kepada seluruh rakyat DUN Nilai atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
Segala pencapaian yang direkodkan adalah hasil usaha bersama demi membangunkan Nilai yang lebih maju, inklusif dan sejahtera.
J.Arul Kumar
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai




