Berita

Arul Hargai Sokongan Rakyat, Mahu PRN Lebih Matang Tanpa Sentimen Kebencian

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan merakamkan penghargaan kepada rakyat DUN Nilai atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan negeri. 

Menerusi hantaran di media sosialnya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa hari ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

“Tempoh pentadbiran kerajaan negeri sepatutnya masih berbaki lebih dua tahun, namun tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pada 27 April lalu menyebabkan keadaan politik kembali tidak stabil.

“Demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan negeri terus terpelihara, DUN terpaksa dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai ADUN Nilai dan Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan, pelbagai projek dan program telah dirancang serta dilaksanakan untuk manfaat penduduk di kawasan itu. 

“Setiap perancangan dibuat berdasarkan tempoh satu penggal pentadbiran selama lima tahun khususnya melibatkan projek yang memerlukan kelulusan peruntukan besar daripada kerajaan negeri dan Persekutuan. 

“Meskipun tempoh perkhidmatan kali ini hanya menjangkau tiga tahun, pelbagai program dan projek berjaya dilaksanakan manakala beberapa lagi kini berada di peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan” katanya.

Dalam pada itu, Arul memaklumkan pelbagai bantuan kewangan dan inisiatif bernilai jutaan ringgit telah disalurkan kepada organisasi serta individu tanpa mengira latar belakang bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Terdapat beberapa inisiatif baharu di peringkat negeri dan Persekutuan yang masih belum dapat menunjukkan hasil sepenuhnya berikutan tempoh pelaksanaannya terjejas akibat keperluan menghadapi pilihan raya negeri lebih awal daripada jangkaan.

“Saya berharap segala usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan akan mencapai matlamat yang diharapkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukannya menjelang pilihan raya negeri, keputusan sama ada akan sekali lagi diberi peluang mempertahankan kerusi DUN Nilai akan ditentukan oleh parti dalam masa terdekat.

“Pencapaian sepanjang perkhidmatannya sebagai ADUN Nilai dan EXCO kerajaan negeri akan dijadikan asas kempen pada pilihan raya akan datang, bukannya politik kebencian atau sentimen perkauman.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat DUN Nilai atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Segala pencapaian yang direkodkan adalah hasil usaha bersama demi membangunkan Nilai yang lebih maju, inklusif dan sejahtera,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button