SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam merakamkan penghargaan kepada seluruh warga DUN Repah atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau menggalas amanah sebagai wakil rakyat kawasan itu serta EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian susulan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Menurut Veerapan, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai ADUN Repah, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan bagi membawa pembangunan, kebajikan serta kemajuan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Saya amat menghargai segala sokongan, pandangan, teguran serta kerjasama yang diberikan oleh seluruh warga DUN Repah.
“Setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha bersama rakyat, jentera kerajaan dan masyarakat setempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook ,hari ini.
Menurutnya, walaupun pembubaran DUN berlaku sebelum tamat penggal berikutan percaturan politik semasa, beliau tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, sekiranya diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat, beliau komited untuk meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan berasaskan rekod pencapaian serta perancangan yang jelas demi kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Repah.
“Sekiranya diberikan mandat sekali lagi, saya komited untuk meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat berasaskan rekod pencapaian serta perancangan yang jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Veerapan turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kesilapan sepanjang tempoh beliau menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
“Saya memohon maaf serta mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya terus bersama-sama memperkukuhkan usaha pembangunan dan kemajuan kawasan DUN Repah pada masa hadapan.



