YB Kita

Noorzunita Hargai Sokongan Rakyat Pilah, Akui Berat Tinggalkan Amanah Belum Selesai

SEREMBAN: EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Mohd Begum menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat DUN Pilah atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan sepanjang tiga tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan memberi ruang untuk beliau mengimbau kembali perjalanan yang dilalui bersama rakyat Pilah sejak memegang amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah.

Katanya, beliau masih sukar menerima hakikat bahawa tempoh perkhidmatan yang sepatutnya berbaki lebih dua tahun terhenti lebih awal susulan pembubaran DUN.

“Kadang-kadang saya terfikir, apabila suatu hari nanti saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan, apakah yang akan tinggal daripada perjalanan ini?

“Sudah tentu bukan jawatan yang pernah disandang, bukan pentas yang pernah didirikan dan bukan juga banner yang pernah dipasang.

“Yang akan kekal hanyalah kenangan, kasih sayang dan hubungan yang telah terjalin antara saya dan rakyat yang saya kasihi,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Noorzunita berkata, sepanjang tiga tahun berkhidmat, beliau berpeluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan menyaksikan sendiri cabaran kehidupan yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut.

Menurutnya, pengalaman bertemu golongan ibu tunggal, warga emas yang hidup bersendirian, pesakit terlantar serta anak muda yang menyimpan cita-cita besar telah memberikan kesan mendalam dalam kehidupannya sebagai wakil rakyat.

“Saya melihat sendiri kehidupan rakyat yang tidak pernah dipaparkan di atas pentas politik. Saya melihat seorang ibu yang menyembunyikan air mata kerana tidak mampu membeli keperluan anak-anaknya.

“Saya juga melihat seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga, warga emas yang hanya mengharapkan seseorang datang bertanya khabar dan anak-anak muda Pilah yang mempunyai impian besar untuk masa depan mereka,” tambahnya.

Bagi Noorzunita, setiap pertemuan dengan rakyat membawa pulang kisah, harapan dan cabaran yang dihadapi mereka, sekali gus menjadi pemangkin untuk terus berusaha membantu masyarakat.

Justeru, beliau mengakui berasa berat hati bukan kerana kehilangan jawatan, sebaliknya kerana merasakan masih banyak perkara yang belum sempat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Pilah.

“Bukan kerana kehilangan jawatan atau kedudukan, tetapi kerana saya merasakan masih banyak yang belum sempat saya lakukan untuk rakyat yang saya sayangi,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzunita berkata, pengalaman berkhidmat di Pilah telah mengajarnya mengenai nilai kesabaran, pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang, selain menyedarkan beliau bahawa kepercayaan rakyat merupakan sesuatu yang amat berharga.

Beliau turut menegaskan bahawa kasih sayangnya terhadap rakyat Pilah tidak akan berubah walau apa jua yang berlaku selepas ini.

“Saya berharap rakyat akan mengingati saya bukan kerana jawatan yang pernah saya pegang, tetapi kerana saya pernah cuba sedaya upaya untuk hadir ketika kalian memerlukan, mendengar ketika kalian ingin didengari dan berjuang untuk kalian dengan segala kemampuan yang saya ada.

“Pilah bukan sekadar kawasan yang saya wakili, tetapi sebahagian daripada hati saya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button