BeritaMenarik

Tawar peluang pekerjaan kepada warga tempatan, kurangkan pengangguran

REPAH: Sebuah syarikat perladangan di Tampin dinasihatkan mengutamakan tawaran peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam meminta supaya peluang pekerjaan diutamakan kepada warga tempatan dengan gaji yang lumayan seperti yang diberikan kepada warga asing.

“Keadaan ini akan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ladang Regent di sini.

“Saya telah memberi pandangan kepada pihak pengurusan ladang bahawa keadaan perumahan yang sedia ada perlu diperbaiki dan jalanraya yang sesuai (jalan tar) serta sistem saliran yang perlu diselenggara untuk mengelakkan penyakit seperti denggi.

“Selain itu, saya juga meminta supaya hak pekerja tidaklah dipergunakan oleh majikan.

“Haruslah membayar gaji dengan sewajarnya mengikut waktu bekerja yang diperuntukan dan menyediakan penginapan atau ruang rehat yang selesa kepada mereka,” ujar Veerapan yang juga ADUN Repah.

Menurutnya lagi, persekitaran yang sesuai juga perlu diwujudkan seperti kemudahan rekreasi dan taman permainan untuk anak-anak pekerja.

“Keadaan sedemikian pasti akan memberi impak serta menarik minat pekerja tempatan di samping mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” jelas Veerapan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan, Encik Roslan Bahari; pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM dan Majlis Daerah Tampin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button