
Kerajaan MADANI telah menerima kecaman dari segelintir pemandu lori muatan berat disebabkan ketegasan YB Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan yang cuba menghapuskan masalah lori lebih muatan, masalah yang telah diwarisi semenjak tahun 1970-an lagi.
Jika dilihat dari sudut sejarah, masalah lori lebih muatan telah wujud semenjak tahun 1940-an di mana pada waktu tersebut dunia baru selesai berhadapan dengan Perang Dunia Ke-2 dan Malaya pada ketika itu dalam fasa membangun pasaca-perang.
Pembangunan yang mula pesat mengakibatkan penggunaan lori berat meningkat secara mendadak bagi menampung pembangunan ekonomi dan industri, pengusaha pada ketika itu telah mula mengurangkan kos perjalanan dengan mengangkut lebih banyak muatan untuk satu perjalanan lori.
Masalah lori lebih muatan mula mendapat perhatian serius pada tahun 1970-an apabila kerajaan telah membina lebih banyak lebuhraya dan jalan persekutuan, pada ketika ini kerajaan mengesan kerosakan jalan pra-matang yang diakibatkan oleh lori dengan muatan berlebihan.
Masalah ini memaksa kerajaan terdahulu menggubal Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Had Berat dan Dimensi Kenderaan Bermotor) bagi menghadkan muatan yang boleh dibawa oleh sesebuah lori pada suatu masa, namun undang-undang tersebut gagal membendung masalah lori lebih muatan sehingga masalah tersebut menjadi warisan kerajaan berikutnya.
Mantan Menteri Pengangkutan terdahulu pernah cuba mengubah masalah yang diwarisi ini namun gagal akhirnya, menteri terdahulu terpaksa berkompromi atas dasar keperluan ekonomi negara dan ditambah pula tekanan pemain industri yang dikejar tuntutan untuk sesuatu projek pembangunan disiapkan dalam kadar segera.
Kompromi yang dilakukan secara berulang oleh menteri dan kerajaan terdahulu mengakibatkan masalah lori lebih muatan ini tidak mampu dihapuskan secara berkesan, sehinggalah YB Anthony Loke menjawat kedudukan Menteri Pengangkutan dan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Usaha membenteras masalah lori lebih muatan telah memaksa beliau melancarkan operasi khas iaitu Ops Perang Lebih Muatan yang menyasarkan kenderaan komersial di seluruh negara untuk disekat jika melebihi had muatan yang ditetapkan undang-undang.
Ahli Parlimen Seremban itu secara tegas menyatakan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan kompromi dengan pengusaha lori yang membawa muatan berlebihan dan bagi beliau keselamatan jalan raya dan nyawa pengguna jalanraya lebih penting ketimbang keuntungan pihak tertentu.
Akibatnya, operasi tersebut menyaksikan pada tahun 2025 sebanyak 27, 300 lori diperiksa di mana sekitar 1, 017 kes muatan berlebihan dikesan dan 96 lori disita menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
YB Anthony Loke secara tegas mahu menamatkan masalah yang diwarisi ini melalui usaha menghapuskan ekosistem logistik yang menjadi punca utama sehingga masalah ini menjadi sistemik dan berakar umbi dalam industri pembangunan negara.
Beliau sedar bahawa beliau tidak mampu untuk berlembut atau berkompromi dalam melaksanakan usaha pembasmian masalah lori lebih muatan ini, kegagalan mantan Menteri Pengangkutan terdahulu adalah kerana ketegasan mereka bersifat ‘separuh masak’ dalam berhadapan dengan masalah tersebut.
Ketegasan tersebut mendorong YB Anthony Loke tidak tunduk dengan desakan Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang mahukan Kemeterian Pengangkutan melonggarkan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap perkhidmatan pengangkutan perdagangan tersebut.
SBKN mendakwa bahawa penguatkuasaan yang tegas oleh Kementerian Pengangkutan di bawah Kerajaan MADANI telah menjadikan pemandu lori yang terlibat terpaksa membayar jumlah saman yang tinggi, berbanding pendapatan bulanan rendah yang diterima mereka.
YB Anthony Loke kekal tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang dibuat walaupun berhadapan dengan demonstrasi yang dianjurkan oleh SBKN dituruti penyertaan ratusan pemandu lori, namun beliau secara tegas menyatakan di dalam Dewan Rakyat bahawa beliau sanggup digugurkan kedudukan Menteri ketimbang berkompromi dengan usaha yang sedang beliau lakukan.
Ketegasan Menteri Pengangkutan ini melambangkan usaha reformasi yang dilaungkan oleh Kerajaan MADANI selama ini, reformasi bukanlah suatu langkah yang popular namun ia diperlukan bagi memastikan kelestarian negara terus terjamin.
Masalah lori lebih muatan ini sebenarnya bukan sahaja membebankan negara untuk menampung kos kerosakan jalan saban tahun, ia juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang terpaksa menggunakan jalan yang rosak.
Statistik kemalangan jalanraya yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan menunjukkan pola peningkatan semenjak tahun 2020 sehingga 2025 di mana purata kes yang sebelum ini mencatatkan lingkungan 4, 000 kes kemalangan untuk setahun telah meningkat kepada 6, 000 kes.
Justeru ketegasan YB Anthony Loke ini perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia, dan diharap beliau terus cekal berjuang dan tidak memandang kebelakang dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas.
Dr. Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan Pengajian Umum
Universiti Poly-Tech Malaysia




