Berita

Kerajaan Negeri Sembilan laksana KMTT bantu pengusaha agro pelancongan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksana Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan di samping memberi peluang kepada pengusaha atau pemilik tanah menjalankan aktiviti pembangunan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Jabatan Pertanian, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir berkata, kaedah KMTT ini dapat digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membantu pengusaha agro pelancongan untuk mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan seterusnya memohon lesen perniagaan.

“KMTT yang bersifat kelulusan sementara membolehkan pengusaha atau pemilik tanah menjalankan operasi dalam tempoh kelulusan yang boleh diberikan oleh PBT minima 3 tahun dan maksima 10 tahun tanpa menukar zon gunatanah di dalam rancangan pemajuan yang telah diwartakan.

“Dan apabila tempoh kelulusan KMTT ini tamat, PBT hendaklah memastikan pemilik tanah mengembalikan tanah tersebut kepada kegunaan asal.

“Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik tanah ini melanjutkan tempoh kelulusan KMTT, boleh mengemukakan permohonan kepada PBT dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Melalui kaedah ini, perancangan dan pembangunan sesuatu kawasan dapat dikawal serta memberi peluang kepada pengusaha atau pemilik tanah menjalankan pembangunan yang mempunyai nilai ekonomi,” kata Bakri.

Bakri berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai, di Persidangan Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-14 pada Selasa.

Show More

Related Articles

Back to top button