Berita

Kerajaan Negeri Sembilan lancar perkhidmatan bas luar bandar

Beri manfaat kepada 70,000 penduduk sekitar Rembau dan Tampin

REMBAU: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan melalui Mara Liner Sdn Bhd iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenalkan Projek Perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri Sembilan (RENTAS NS) yang melibatkan daerah Rembau dan Tampin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, RENTAS NS dijangka memanfaatkan 70,000 penduduk sekitar yang merangkumi 25 institusi pengajian dan sekolah serta 47 kawasan perkampungan, taman perumahan dan fasiliti kesihatan.

“RENTAS NS merupakan inisiatif baharu yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan ketika pembentangan Belanjawan 2022 yang lalu.

“Inisiatif ini di bawah bidang Pemerkasaan Komuniti membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah inisiatif Bas Luar Bandar telah mula beroperasi pada 16 Mei yang lalu.

“Sejak beroperasi lebih kurang 7,000 pengguna telah menikmati kemudahan yang disediakan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, RENTAS NS bertujuan memperkasa mode sistem pengangkutan awam, meningkatkan mobiliti serta memudahkan pergerakan masyarakat desa ke bandar.

“Projek ini melibatkan laluan bukan komersial bagi memenuhi permintaan penduduk setempat dan semua laluan yang dipilih adalah berdasarkan pandangan dan maklum balas daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah serta masyarakat setempat.

“Sebanyak lapan unit bas midi baharu yang berkapasiti seramai 30 orang penumpang disediakan bagi memenuhi perkhidmatan trip ulang alik di dua laluan daerah Rembau dan Tampin,” jelas Aminuddin.

Butiran laluan

Bagi laluan di daerah Rembau, perkhidmatan RENTAS NS akan bermula dari Kampung Cuai melalui Kampung Chembong Kechil, Sepri Pedas, Kundur sehingga ke Rumah Rakyat Linggi.

Satu lagi laluan bermula dari Kampung Senama Hilir Melalui Mampong, Kampung Pulau Mampat, Durian Daun, Pilin Paya Lebar Dalam dan Klinik Kesihatan Lubok China.

Bagi laluan di daerah Tampin pula akan bermula dari Kampung Keru melalui Kampung Batu Dalang, Kampung Gemencheh Lama, Felda Bukit Rokan Kampung Felda Bukit Rokan Utara sehingga Klinik Kesihatan Bukit Rokan Utara.

Manakala satu lagi laluan akan melalui Taman Murris, Kampung Ladang, Kampung Ulu Ladang, Kampung Felda Bukit Rokan, Kampung Batang Rokan, Kampung Gemencheh Lama dan Taman Seri Intan.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button