Berita

RENTAS NS rancakkan ekonomi penduduk setempat: Aminuddin

Kerajaan Negeri pertimbang peluasan laluan di daerah lain

REMBAU: Kerajaan Negeri Sembilan percaya projek RENTAS NS di daerah Rembau dan Tampin, merupakan salah satu usaha menjaga kepentingan rakyat khususnya golongan B40 dan bakal merancakkan ekonomi penduduk setempat di sepanjang laluan baharu ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyelia pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini dengan lebih efektif agar dapat membantu penduduk setempat terutamanya kawasan luar bandar.

“Insya Allah, Kerajaan Negeri akan meneliti dan mempertimbangkan peluasan laluan di daerah lain.

“Walau bagaimanapun segala pertimbangan sudah semestinya bergantung kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri pada masa tersebut,” jelas Aminuddin.

Tambang separuh harga

Aminuddin berkata, perkhidmatan RENTAS NS akan memberikan masyarakat luar bandar perkhidmatan bas harian setanding dengan perkhidmatan yang dinikmati penduduk di kawasan bandar dengan penggunaan sistem bayaran tambang secara tunai dan tanpa tunai.

“Pendekatan ini meningkatkan kecekapan pengurusan perkhidmatan dan mengelakkan ketirisan dalam kutipan tambang.

“Caj tambang yang dikenakan juga adalah berpatutan setelah mematuhi syarat yang telah ditetapkan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kadar tambang dengan pengurangan separuh harga akan diberikan kepada warga emas serta kepada pelajar yang berpakaian seragam sekolah termasuk pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan bukti kad identiti pelajar,” ujar beliau.

Maklumat laluan

Bagi laluan di daerah Rembau, perkhidmatan RENTAS NS akan bermula dari Kampung Cuai melalui Kampung Chembong Kechil, Sepri Pedas, Kundur sehingga ke Rumah Rakyat Linggi.

Satu lagi laluan bermula dari Kampung Senama Hilir Melalui Mampong, Kampung Pulau Mampat, Durian Daun, Pilin Paya Lebar Dalam dan Klinik Kesihatan Lubok China.

Bagi laluan di daerah Tampin pula akan bermula dari Kampung Keru melalui Kampung Batu Dalang, Kampung Gemencheh Lama, Felda Bukit Rokan Kampung Felda Bukit Rokan Utara sehingga Klinik Kesihatan Bukit Rokan Utara.

Manakala satu lagi laluan akan melalui Taman Murris, Kampung Ladang, Kampung Ulu Ladang, Kampung Felda Bukit Rokan, Kampung Batang Rokan, Kampung Gemencheh Lama dan Taman Seri Intan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button