SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan melancarkan Program Pembiayaan Modal Kewangan Pemfaktoran-i melalui NS Capital Advance Sdn Bhd (NSCA) dengan dana permulaan RM5 juta yang akan dikembangkan kepada RM300 juta; bagi membantu usahawan serta kontraktor kecil dan sederhana di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, program ini bagi meringankan beban aliran tunai usahawan serta kontraktor kecil dan sederhana ketika melaksanakan projek yang dianugerahkan.
Keprihatinan Kerajaan Negeri melalui inisiatif ini diharap dapat membantu bukan hanya kontraktor dan usahawan tetapi juga merancakkan ekonomi negeri yang agak suram lantaran kesan pendemik Covid-19 yang melanda negara dan Negeri Sembilan.
“Sebagai permulaan usahawan PKS dalam bidang kontraktor Kelas G1-G3 yang berdaftar dengan dua kontraktor utama Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Negeri Roadstone Sdn Bhd (NRSB) dan Gemencheh Granite Sdn Bhd (GGSB) akan dipilih untuk mendapatkan pembiayaan modal kewangan melalui program pemfaktoran-i ini.
“Kerjasama strategik yang dijalinkan antara tiga entiti ini akan membuka ruang dan peluang untuk merancakkan kegiatan ekonomi dalam sektor pembangunan kontraktor.
“Usaha ini juga diharapkan dapat membantu Kerajaan Negeri membangunkan Program Keusahawanan PKS khususnya Kontraktor Kelas G1-G3 dan merebut peluang pendapatan dalam industri kecil dan sederhana yang bernilai lebih dari RM300 juta setahun,” kata beliau di majlis pelancaran program berkenaan di Klana Resort, Seremban pada Jumaat.
NS Capital Advance Sdn Bhd (NSCA) merupakan sebuah anak syarikat Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBI).
Tiada isu projek terbengkalai
Aminuddin berkata, terdapat 513 kontraktor yang berdaftar di Negeri Sembilan dan yang aktif sekitar 160 syarikat.
Ini melibatkan sejumlah 2,400 pekerja yang rata-ratanya merupakan anak Negeri Sembilan. Inisiatif ini diharapkan akan membuka peluang kepada lebih banyak syarikat berdaftar kembali aktif atau syarikat baru didaftarkan dan turut bersaing mendapatkan projek yang ditawarkan.
“Kerajaan Negeri juga berharap agar NSCA memperluaskan skop bantuannya kepada kontraktor dan usahawan PKS yang terlibat dengan agensi perlaksana lain pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JKR, SAINS, JPS dan sebagainya dalam pelbagai aspek teknikal, perancangan, pengurusan projek serta kewangan.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta dan akan berterusan dalam bentuk dana pusingan atau ‘revolving fund’ bagi memastikan program pembiayaan pemfaktoran-i, dapat membantu hampir 60 peratus usahawan PKS yang berkecimpung dalam bidang binaan jalan raya di seluruh Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.
Kata beliau, inisiatif pembiayaan ini mencerminkan Kerajaan Negeri fokus dengan hala tuju yang khusus bagi merancakkan kegiatan ekonomi melalui beberapa sektor terutama pembangunan terbabit.
“Dengan menambah dana bagi projek berskala kecil, ia membolehkan lebih ramai kontraktor terbabit dalam projek seperti pembaikan infrastruktur.
“Kerajaan Negeri amat peka dengan bantuan pembiayaan modal kepada usahawan ini agar dapat memastikan perlaksanaan projek pembangunan dapat berjalan seperti dirancangkan dan tiada lagi isu projek lambat siap, kontraktor lari atau projek terbengkalai yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada semua pihak,” ulas Aminuddin lagi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr.Razali Ab Malik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Khidir Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif NS Capital Sdn Bhd, Ybhg Dato’ Romli Ishak.