Aminuddin saran KeADILan Jempol santuni anak muda
PALONG: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KeADILan Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyarankan kepimpinan KeADILan Jempol menyantuni pengundi muda khususnya berumur 18 tahun hingga 26 tahun.
Aminuddin berkata, di Negeri Sembilan sahaja sekitar 250,000 pengundi baru berumur 18 tahun ke atas, bakal mengundi untuk kali pertama pada Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Anak muda juga perlu disantuni. Program berimpak besar perlu dianjurkan dalam mendekati anak muda.
“KeADILan Jempol perlu bekerja keras untuk menangkan semua kerusi di Parlimen Jempol, bukan sahaja kerusi yang ditandingi calon KeADILan tetapi juga calon DAP dan Amanah,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian dalam majlis ramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa KeADILan Jempol di Pejabat KeADILan DUN Palong, Pusat Bandar Palong 4, 5 & 6 pada petang Jumaat.
Aminuddin turut menghadiri majlis minum petang bersama kepimpinan MPKK DUN Palong di tempat yang sama dan beberapa perkara telah dibincangkan.
Aminuddin dalam pertemuan tersebut menyatakan beliau sentiasa mengambil berat tentang pelan pembangunan di DUN Palong khususnya Pusat Bandar Palong 4,5 & 6.
“Saya meminta sebarang permasalahan disalurkan kepada penyelaras DUN, MPKK dan ahli majlis untuk ditangani segera.
“Manfaatkan juga wakil kita (ahli majlis) dalam Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) untuk mengutarakan sebarang cadangan yang perlu diangkat ke pengetahuan pihak MPJL,” ujar beliau.
Turut hadir, ADUN Bahau, YB Teo Kok Seong; Setiausaha KeADILan Negeri Sembilan, Saudara Nazri Kassim; Pengarah Jabatan Pilihanraya KeADILan Negeri Sembilan, YB Senator Dr.Ahmad Azam Hamzah dan Ketua Cabang KeADILan Jempol, Saudara Rebin Birham.
Aminuddin turut menghadiri program Zikir Al-Mathurat Kubra di Masjid Felda Palong 4 dan menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak secara berjemaah, malam tadi.