SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25.9 juta dalam inisiatif Kerajaan untuk menaiktaraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET yang setaraf dan setanding di peringkat nasional.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri sangat komited dalam memperkasakan bidang pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“TVET adalah kunci utama kepada peningkatan kualiti dan produktiviti dalam semua sektor ekonomi di era Revolusi Industri 4.0, malah era Revolusi Industri 5.0 yang mendatang.
“Sejak diamanahkan memimpin Negeri Sembilan pada tahun 2018, institusi tunggal TVET milik Kerajaan Negeri iaitu Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) adalah institusi pendidikan yang cukup dekat di hati sanubari dan keprihatinan utama saya.
“Sebahagian besar pelajar kolej ini adalah terdiri daripada keluarga golongan B40 dan miskin tegar, maka Kerajaan Negeri telah meluluskan pelbagai inisiatif dan geran khas untuk mereka.
“Ini termasuklah sejumlah geran one-off sebanyak RM1,000 dan bantuan sara hidup sebanyak RM150 pada setiap bulan bermula 1 Ogos 2021,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata, terkini, bersesuaian dengan kemampuan yang sedia ada, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk membolehkan para pelajar meneruskan pengajian di KYNS secara percuma, berkuatkuasa 1 Jun 2023.
“Sesungguhnya, inilah kemuncak usaha yang dapat Kerajaan Negeri lakukan pada setakat ini, bagi membolehkan anak-anak Negeri Sembilan belajar di aliran TVET dengan penuh selesa.
“Semoga ini semua dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda yang ada di Negeri ini,” ujar Aminuddin.