NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan hasil jualan RM2 juta dan jumlah pengunjung RM300,000 di NS Fest dari 28 hingga 31 Julai di Dataran Nilai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sepanjang tempoh NS Fest kali pertama pada tahun 2019, dilaporkan sebanyak 67 sesi pemadanan perniagaan berjaya dilaksanakan dengan nilai urus niaga melebihi RM3 juta, manakala hasil jualan sebanyak RM1.1 juta.
“Dalam NS Fest pada tahun ini, kita mengumpulkan seramai 80 peladang, penternak dan usahawan tani yang akan mengadakan jualan hasil pertanian, barangan basah dan hasil semaian serta mempamerkan produk terbaik hasil titik peluh mereka kepada para pengunjung.
“Kita pilih 250 gerai (pempamer) yang mempamerkan prestasi baik dan memberikan komitmen tinggi.
“Pada tahun 2019, ada gerai yang kehabisan jualan beberapa jam selepas membuka jualan pada hari pertama berniaga.
“Justeru, pada tahun ini saya percaya hasil jualan boleh mencecah RM2 juta dalam tempoh empat hari NS Fest ini berlangsung,” jelas Aminuddin dalam sidang media selepas merasmikan NS Fest di Dataran Nilai.
Aminuddin berkata, penganjuran NS Fest amat bertepatan dalam membantu dan membuka peluang serta ruang yang luas kepada usahawan, peladang, penternak dan nelayan untuk pengembangan dan peningkatan hasil usaha masing-masing sama ada melalui pembelajaran teknologi baharu, meneroka ruang pemasaran, mempamerkan dan mempromosi produk masing-masing.