Berita

Kerajaan Negeri tumpu pembangunan Islam: AMINUDDIN

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada pembangunan Islam termasuk infrastruktur yang baik, efisyen dan berkualiti kepada masyarakat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, atas keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Islam, projek pembinaan Masjid Bandar Seremban Selatan yang baharu telah diluluskan dengan kos kontrak RM6.5 juta.

“Kerajaan Negeri komited melaksanakan projek pembinaan 10 buah masjid baharu di Negeri Sembilan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.5 juta.

“Tujuh buah masjid daripadanya dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri dan selebihnya peruntukan persekutuan.

“Pada tahun 2023 nanti, 10 buah masjid ini akan siap dibina untuk diimarahkan oleh masyarakat Islam di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Masjid Bandar Seremban Selatan pada pagi.

Beliau menambah, apabila masjid ini siap dibina, ia dapat menjadi medan pengukuhan ukhwah dalam kalangan umat Islam khususnya di Bandar Seremban Selatan.

“Saya percaya bahawa masjid ini akan menjadi pusat ibadah, pusat pendidikan dan pusat pengembangan syiar Islam sebagai benteng kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Justeru, masjid perlu memainkan peranan sebagai institusi ta’dib dan tarbiah untuk menyemai nilai-nilai murni Islam.

“Saya juga cukup yakin dan percaya, pengimarahan masjid akan dapat melahirkan umat yang cemerlang dan seimbang,” ujar Aminuddin.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia dan Sukan merangkap ADUN Paroi, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Dato Mohd Zaidi Ramli.

Show More

Related Articles

Back to top button