Berita

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan perkenal Takaful Khairat Kematian

Peruntukan RM1.5 juta bakal beri manfaat kepada 34,562 keluarga di Negeri Sembilan. Bantuan kecemasan RM2,000 kematian biasa, RM6,000 kematian akibat kemalangan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melancarkan Takaful Khairat Kematian yang bakal bagi manfaat kepada 34,562 keluarga kurang berkemampuan di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan buat julung kalinya telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk caruman kepada anggaran seramai 34,562 orang Ketua Isi Rumah (KIR) berdasarkan senarai e-Kasih Negeri Sembilan mulai 1 Ogos 2021 untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan.

“Inisiatif ini adalah sebagai tanda simpati dan menzahirkan rasa prihatin dalam membantu meringankan beban waris.

“Pelan Takaful Khairat Kematian ini terbuka kepada rakyat yang layak tanpa mengira bangsa dan agama.

“Caruman akan dibuat secara berfasa dan turut memberi perlindungan tambahan kepada isteri dan dua orang anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Caruman ini akan membolehkan waris menerima bantuan kecemasan berjumlah RM2,000 selepas kematian individu yang dinamakan,” jelas Aminuddin.

Bantuan RM6,000 untuk kes kematian akibat kemalangan

Namun menurut Aminuddin, bantuan khairat kematian ini akan meningkat kepada RM6,000 sekiranya kematian individu akibat kejadian kemalangan.

Aminuddin berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah di bawah seliaan Pejabat Menteri Besar dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Akaun Amanah Takaful Khairat Kematian juga sedang diwujudkan bagi mengkredit dan mengumpulkan semua terimaan dan bayaran bagi tujuan ini.

“Orang ramai, syarikat swasta dan pihak yang ingin menyumbang adalah amat dialu-alukan untuk berbuat demikian bagi membolehkan lebih ramai rakyat di Negeri Sembilan dapat dicarumkan dalam program ini,” ujar beliau.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri Sembilan dengan meletakkan rujukan ‘Khairat Kematian’.

Aminuddin membuat pengumuman ini dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri secara ‘online’ sebentar tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button