Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan sumbang 100 ‘tablet’ kepada Maahad Ahmadi Gemencheh

Membantu pembelajaran pelajar secara atas talian (online)

SEREMBAN: Sekolah Agama Maahad Ahmadi Gemencheh menerima sumbangan 100 unit ‘tablet’ (peranti pintar) dari Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyerahkan 100 unit ‘tablet’ Samsung Tab A kepada Pengetua Mahaad Ahmadi Gemencheh, Ustaz Shahrizan Ramli di Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Menteri Besar di Kediaman Rasmi beliau.

“Maahad Ahmadi adalah sebuah sekolah agama di bawah Kerajaan Negeri dan ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri bagi membantu pembelajaran secara talian (online) bagi pelajar di sekolah ini.

“Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu memastikan kecemerlangan pelajar di sekolah ini pada masa akan datang, Insya Allah,” kata Aminuddin.

4,470 ‘tablet’ diagihkan di seluruh Negeri Sembilan

Pada 3 Februari lepas, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengumumkan inisiatif khas sumbangan ‘tablet’ percuma kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Aminuddin berkata, ‘Tablet’ percuma ini sedang diedarkan kepada pelajar yang layak dan terpilih secara berperingkat-peringkat melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras DUN di 36 DUN di seluruh Negeri Sembilan.

“Pada perancangan awal sebanyak 3,200 unit ‘tablet’ diperuntukkan untuk diagihkan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

“Namun, apabila melihat situasi semasa, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersetuju untuk menyumbang 4,470 unit ‘tablet’ (tambahan 1,720 unit ‘tablet’) kepada pelajar yang benar-benar memerlukan di seluruh Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button