CHUAH: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa komited mendukung usaha dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh warga asnaf termasuk isu kemiskinan dan pemilikan rumah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat yang memerlukan untuk memiliki kediaman, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Rumah Harapan Rakyat pada tahun 2021.
“Skim ini menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai RM75 ribu kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah setingkat di atas bidang tanah masing-masing.
“Menariknya inisiatif ini, bayaran pinjaman ini hanya akan mula dibayar apabila rumah tersebut telah siap dan selepas penyerahan kunci kepada peserta.
“Inisiatif Rumah Harapan Rakyat ini diteruskan pada tahun ini (2022) dengan peruntukan sebanyak RM5.0 juta,” kata beliau.
Aminuddin berkata demikian di majlis penyerahan kunci rumah kepada Puan Normawati Sharkom di Kampung Chuah, Port Dickson.
Normawati menerima sebuah rumah di bawah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Turut hadir ADUN Chuah, YB Dato’ Michael Yek Diew Ching.
Foto: Nabil Syafiq