Berita

Kolaborasi Bengkel Luban rangsang penyelidikan dan pembangunan perubatan di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kolaborasi Bengkel Luban (Luban Workshop Collaboration) mampu merangsang aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk penerapan teknologi baru dan maju dalam sektor perubatan di Negeri Sembilan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa memberikan sokongan penuh untuk sebarang usaha pembangunan pendidikan di negeri ini.

Veerapan yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Kolaborasi Bengkel Luban antara Kolej Perubatan Shangqiu dengan Universiti UCSI, Bandar Springhill dan Konsortium Universiti Malaysia pada 25 Jun lalu.

“MOU ini penting bagi Negeri Sembilan kerana tiga sebab iaitu dalam menunjukkan sokongan kuat Kerajaan Negeri kepada Universiti UCSI dan Kolej Perubatan Shangqiu, usaha untuk mengembangkan dan memperkukuhkan kemampuan perubatannya serta memanfaatkan kemampuan tenaga tempatan untuk membuat dan menggunakan penyelesaian yang inovatif dan akhirnya, untuk pembangunan masyarakat di Negeri Sembilan,” kata Veerapan.

Veerapan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan telah menunjukkan sokongan padu terhadap usaha Kolaborasi Bengkel Luban untuk memperluaskan dan memperkukuhkan kemampuannya secara konkrit dengan komitmen untuk pembiayaan serta perkongsian kepakaran dan sumber yang wujud dari MOU ini.

“Komitmen dan sokongan penuh Kerajaan Negeri diberikan kepada Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang akan memacu inisiatif bersama ini.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga melihat bahawa ia akan mendorong memupuk bakat, baik dalam kalangan tenaga pengajar mahupun pelajar di Universiti UCSI,” ujar Veerapan.

Majlis MOU secara online ini ditandatangani oleh Presiden Luban Workshop Malaysia, Datuk Seri James Wong; Naib Presiden Kolej Perubatan Shangqiu, Encik Jia Mei dan Pro Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Dr.Jimmy Mok.

Show More

Related Articles

Back to top button