Berita

Lebih 10,000 banjiri Padang MBS rai Hari Kebangsaan

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 orang di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Razali Ab Malik. Turut hadir termasuk Datuk Syahbandar, Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sebanyak 81 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini.

Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan institut pengajian serta syarikat swasta.

Perarakan turut menyaksikan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara diketuai Menteri Besar manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Yusof Ahmad.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button