BeritaProgram

Loke gesa Kerajaan Negeri Sembilan gubal undang-undang lompat parti

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, YB Loke Siew Fook (Pakatan Harapan) mengesa Kerajaan Negeri Sembilan menggubal undang-undang melarang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melompat (menukar) ke parti lain.

Loke berkata, beliau berharap parlimen akan meluluskan pindaan akta lompat parti menjelang penghujung bulan Mei nanti.

“Selepas parlimen lulus pindaan akta lompat parti, adalah lebih elok Kerajaan Negeri ambil satu langkah proaktif.

“Di peringkat negeri undang-undang khusus mesti digubal untuk melarang wakil rakyat lompat parti.

“Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri boleh kaji satu mekanisme terbaik, samada gubal satu enakmen atau pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” kata Loke di Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Selasa.

Loke berkata, apabila pindaan akta lompat parti diluluskan parlimen pada bulan Mei ini, beliau berharap pindaan di peringkat negeri di bawa ke persidangan DUN secepat mungkin.

“Saya mencadangkan YB Sikamat (Menteri Besar) panggil satu persidangan DUN Khas untuk meluluskan pindaan ini,” ujar beliau lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button