Loke: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan kukuh
SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan tetap kukuh dan stabil walaupun mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran pada tahun 2020,” kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata demikian, selepas mengadakan kunjungan hormat tahun baru dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di Kediaman Rasmi Menteri Besar.
“Saya yakin YAB Menteri Besar akan terus memimpin Negeri Sembilan dengan penuh kebijaksanaan dan muafakat demi kesejahteraaan rakyat Negeri Sembilan.
“Cara pentadbiran Menteri Besar disenangi rakan komponen kerana sentiasa terbuka untuk membincangkan segala isu dan mencari konsensus sebelum sesuatu keputusan dicapai.
“Contohnya, dalam merangka Belanjawan tahunan, setiap ahli EXCO dan ADUN Backbenchers diberi ruang untuk memberikan input masing-masing.
“Akhirnya, apabila belanjawan dibentangkan, ianya merupakan satu muafakat bersama dan semua pihak dalam Kerajaan Negeri menyokong dan mendokong dengan sepenuh hati,” kata Loke yang juga ADUN Chennah.
Loke yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban berkata, ini pendekatan yang sangat baik dan menjurus ke arah kestabilan politik di Negeri Sembilan yang terbukti (proven).