Berita

MAINS nafi fitnah salah guna wang zakat

Laporan polis telah dibuat oleh MAINS

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Susulan daripada tohmahan dan fitnah yang telah disebarkan pada 2019, pihak MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit.

Pihak MAINS turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menjalankan siasatan penuh dan pengauditan terperinci terhadap semua dakwaan tersebut.

Namun pada 2023, dakwaan yang sama diulang siar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memenuhi kepentingan peribadi.

MAINS sebagai agensi Badan Berkanun yang dinaungi oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti serta berintegriti tinggi dalam semua aspek tatakelolanya.

Pihak MAINS juga menafikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan penglibatannya dalam isu berkaitan.

Malahan pihak Kerajaan Negeri sentiasa berganding bahu bersama pihak MAINS memastikan semua perkara yang menyentuh masyarakat Islam di Negeri ini sentiasa terbela dan disantuni sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, pihak MAINS menasihati masyarakat sentiasa Tabayyun (menyemak asas kebenarannya) sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.

Pihak MAINS juga sekali lagi telah membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menimbulkan persepsi negatif dan kegusaran awam terhadap MAINS.

Sebarang hal berkaitan salah laku, pihak MAINS menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan MAINS memberikan kerjasama sepenuhnya serta tidak berkompromi terhadap perkara berkaitan salah laku.

Dato’ Seri Dr.Abdul Aziz Ab Kadir,
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Show More

Related Articles

Back to top button