Masjid Seri Kendong yang baharu dijangka siap Januari 2023
REMBAU: Masjid Seri Kendong yang baharu dijangka akan siap dibina pada 26 Januari 2023.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, masjid yang terletak dalam Mukim Gadong, Daerah Rembau ini akan mempunyai kapasiti memuatkan 500 orang jemaah serta dianggarkan bakal menelan belanja berjumlah RM4.56 juta.
“Pembinaan ini telah diluluskan berikutan masjid lama mengalami terlalu banyak kerosakan dan akan menelan belanja yang besar untuk dibaiki.
“Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan memutuskan untuk merobohkan binaan lama dan membina sebuah masjid baru,” kata Aminuddin.
“Pembinaan masjid ini adalah salah satu daripada 12 buah masjid di seluruh Negeri Sembilan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
“Semoga pembinaan masjid di seluruh negeri ini terus meneguhkan syiar Islam di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Tapak Masjid Kariah Seri Kendong.
Foto: Nabil Syafiq