BeritaMenarik

Negeri Sembilan komited sedia penginapan pekerja berpusat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju dengan Pelanjutan Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (2021 Hingga 2023) Di Negeri Sembilan sehingga Disember 2027 (untuk bangunan sedia ada berstatus komersial/perniagaan sahaja dan bukan kediaman) dan penambahbaikan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Negeri Sembilan berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bil 3 Tahun 2023 bertarikh 29 Disember 2023 yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada 15 Mei 2024.

Pelanjutan prosedur penginapan pekerja jangka pendek (TLQ) ini dibuat bagi memberi ruang kepada pengusaha di dalam menempatkan pekerja asing di Negeri Sembilan secara lebih teratur dan tersusun serta bersedia ke arah penyediaan penginapan berpusat (CLQ) yang lebih terancang menjelang tahun 2028.

Prosedur TLQ yang dilanjutkan ini mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan TLQ di kawasan perumahan bagi mengelakkan isu sosial dan keselamatan serta memastikan keselesaan penduduk setempat.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited ke arah penyediaan penginapan pekerja berpusat yang terancang melalui penambahbaikan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemakaian GPP CLQ melalui MMKN pada 5 Januari 2022.

Tujuan utama penyediaan GPP ini adalah bagi menempatkan pekerja dalam satu kawasan atau bangunan khas yang sesuai dan praktikal untuk memudahkan kawalan masalah sosial dan wabak penyakit pada masa akan datang.

GPP yang disediakan ini adalah mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan pekerja termasuk menetapkan piawaian minimum penginapan bagi pekerja.

GPP CLQ ini disediakan bagi membantu Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, pihak pemaju, majikan, pengilang, pengendali perkhidmatan dan pengusaha penginapan pekerja di dalam menyediakan penginapan pekerja berpusat (pekerja asing dan tempatan) yang lebih terancang, teratur dan holistik bagi penyelesaian secara jangka panjang.

Garis panduan ini merangkumi aspek kawalan perancangan dan aspek kawalan dalaman. Terdapat dua alternatif utama yang digariskan di dalam GPP CLQ ini seperti berikut:

i. Alternatif 1(A1) – Penginapan pekerja berpusat di kawasan baharu (Berstatus pertanian, komersial dan perindustrian).

Kawasan baharu di dalam alternatif 1 (A1) adalah merujuk sesuatu kawasan/plot/lot kosong berimilik yang masih belum dimajukan dan mempunyai sempadan yang jelas.

ii. Alternatif 2(A2) – Penginapan pekerja berpusat di kawasan brownfield.

Kawasan brownfield di dalam alternatif 2 (A2) yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut:

a) Kawasan pembangunan yang telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan telah siap dibangunkan tetapi ditinggalkan / terbiar / mempunyai struktur pembangunan yang usang atau kawasan pembangunan yang tidak siap sepenuhnya dan terbengkalai dalam tempoh pelaksanaan pembangunan yang dirasakan wajar oleh PBT berdasarkan keadaan semasa di tapak.

b) Bangunan yang telah mendapat kelulusan KM dan telah siap serta mendapat CCC tetapi tidak terjual, dimana penentuan tempoh tidak terjual (diambil kira daritarikh CCC dikeluarkan) adalah tertakluk kepada pertimbangan PBT. Ia juga tertakluk kepada kesediaan pemilik unit lain yang telah membeli unit-unit berkaitan.

Setelah hampir 2 tahun pelaksanaannya, terdapat beberapa penambahbaikan berdasarkan kepada Pekeliling KSU KPKT Bil 2 Tahun 2023 berkenaan perkara ini, dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambahbaik GPP CLQ sedia ada seperti
berikut:

iii. Alternatif 3(A3) – CLQ kekal di premis sedia ada (Komersial/Perniagaan atau Perindustrian sahaja).

Takrifan kawasan sedia ada ialah “mana-mana bangunan sedia ada di kawasan komersial/perniagaan atau perindustrian yang telah mendapat CCC daripada PBT”.

Bagi CLQ kekal di premis sedia ada komersial/ perniagaan, ianya perlu dipertimbangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri terlebih dahulu secara case by case basis bagi memastikan penyediaannya mengambilkira kepentingan penduduk dan kawasan sekitarnya.

Justeru itu, penambahbaikan GPP CLQ ini adalah penting bagi menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan terancang di samping menjaga keselamatan, keharmonian dan keselesaan penduduk dan kawasan sekitarnya.

J.Arul Kumar
EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan
ADUN Nilai

 

Show More

Related Articles

Back to top button