Negeri Sembilan peruntuk RM345,000 bantu Orang Asli
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan Geran Khas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kepada 69 buah kampung Orang Asli yang berdaftar dengan peruntukan berjumlah RM345,000.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 buah kampung yang mempunyai JPKKOA akan menerima RM5,000 manakala 15 buah kampung yang tidak mempunyai JPKKOA dan kampung yang diketuai oleh Tok Batin akan menerima RM4,000.
“Semoga dengan pemberian geran ini, dapatlah JPKKOA menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat demi pembangunan komuniti.
“JPKKOA perlu kreatif, inovatif, dinamik serta berkarisma dalam menguruskan kampung masing-masing.
“JPKKOA adalah perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa, selain menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
Aminuddin berkata, masyarakat Orang Asli perlulah bijak meneroka peluang yang boleh meningkatkan ekonomi kampung seperti bidang pertanian, penternakan, pelancongan desa, adat budaya, produk kraftangan dan keseniaan masyarakat Orang Asli.
“Justeru itu, kepimpinanan kampung perlu bijak mengambil peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Geran Aktiviti Adat,” ujar Aminuddin di Majlis Penyampaian Geran JPKKOA Di Bawah Inisiatif Belanjawan 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.