Negeri Sembilan tubuh Majlis Perundingan TVET
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah menubuhkan Majlis Perundingan TVET Negeri Sembilan.
Exco (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan, Komoditi, Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, inisiatif tersebut diambil kerana ia merupakan medium yang baik untuk mengarusperdanakan agenda pemerkasaan TVET di peringkat negeri.
“Hal ini bagi meningkatkan pengeluaran tenaga mahir tempatan kepada 35 peratus pada tahun 2025 selari dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Buat masa sekarang, Majlis Perundingan TVET Negeri akan memberi tumpuan kepada intervensi quick-wins seperti mempercepatkan penempatan pekerjaan agar isu kekurangan pekerja di industri dapat dikurangkan.
“Selain itu, Majlis Perundingan ini juga akan menyediakan tenaga mahir dan separa mahir bagi sektor industri yang kritikal.
“Dalam masa sama, mereka juga akan memberi perhatian isu kekurangan akses pelajar dan komuniti kepada program TVET, pengiktirafan TVET oleh industri, disamping menangani penerimaan masyarakat yang rendah terhadap program TVET melalui program yang akan dirangka bersama,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin berkata demikian di Peluncuran Majlis Perundingan TVET Negeri Sembilan.