Nexperia bakal wujudkan 1,000 peluang pekerjaan di Negeri Sembilan
SEREMBAN: Nexperia Malaysia akan menggandakan kapasiti operasinya menjelang tahun 2026 yang bakal mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan yang baharu.
Nexperia Malaysia yang terletak di Senawang telah mengembangkan oerasinya dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM1.68 bilion menjelang tahun 2026 yang melibatkan bangunan, peralatan dan automasi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dengan bangunan baru empat tingkat, 20,000 meter persegi ruang binaan dan 11,000 meter persegi ruang cleanroom; projek ini memberi peluang untuk Nexperia Malaysia menggandakan kapasitinya menjelang tahun 2026.
“Ia juga akan menempatkan gudang bahan mentah automatik yang akan beroperasi pada pertengahan tahun 2022.
“Ruang simpanan gudang automatik ini berkeluasan tiga kali ganda berbanding dengan ruang simpanan gudang yang sedia ada.
“Selain daripada itu, beberapa ruang tingkat yang lain akan dipenuhkan dengan ruang operasi automatik dengan mengikuti standard piawaian industri 4.0, mampu menyokong pertumbuhan produk tenaga penting untuk industri automotif.
“Pembinaan bangunan baru ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk lebih 1,000 rakyat Malaysia, terutamanya di Negeri Sembilan,” kata beliau.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Nexperia Malaysia, di Taman Perindustrian Taman Tuanku Jaafar, Senawang pada petang Khamis.
Membangun rantaian bekalan semikonduktor
Menurut Aminuddin lagi, pelaburan ini adalah tepat pada masanya kerana permintaan global yang dinamik.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada One Stop Centre Negeri Sembilan kerana bersama membantu menjadikan projek ini satu realiti untuk Nexperia Malaysia dalam masa kurang 10 bulan sehingga kita dapat bersama dalam upacara pecah tanah pada hari ini.
“Sesungguhnya, majlis pecah tanah hari ini adalah acara yang sangat ditunggu-tunggu oleh industri elektronik di Malaysia, dan kami gembira kerana salah satu syarikat E&E Global yang utama di dunia terus berkembang di Negeri Sembilan.
“Saya berharap dengan pembinaan bangunan baru Nexperia Malaysia ini, lebih banyak pelaburan yang memberi manfaat kepada Negeri Sembilan akan hadir pada tahun-tahun akan datang.
“Keputusan Nexperia Malaysia untuk terus mengembangkan operasinya di Negeri Sembilan adalah bukti ekosistem E&E syarikat yang komprehensif, menekankan keupayaan bakat tempatan di Malaysia dan membangunkan rantaian bekalan semikonduktor untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Ini adalah langkah penting untuk ekosistem semikonduktor di Malaysia,” ujar Aminuddin lagi.
Foto: Nabil Syafiq