Menarik

Nicole Tan: Bantuan JKM dinaikkan mulai Januari 2021

Bantuan Am Kerajaan PH Negeri Sembilan juga telah dinaikkan

SEREMBAN: Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semua kategori telah dinaikkan berkuatkuasa Januari 2021.

Nicole Tan berkata, bantuan kewangan yang dinaikkan tersebut, telah pun dimasukkan dalam akaun penerima bantuan sejak 7 Januari lepas seperti berikut:

Lima kategori bantuan Kerajaan Pusat yang diluluskan dalam Bajet 2021 adalah seperti berikut:

1. OKU terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500;
2. OKU tak berkerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300;
3. Elaun Pekerja Cacat dinaikkan daripada RM400 kepada RM450;
4. Bantuan kanak-kanak dinaikkan daripada RM100 untuk seorang anak kepada RM150 untuk seorang anak berusia tujuh hingga 18 tahun dan RM200 untuk anak berusia enam tahun dan ke bawah.

Had maksimum untuk satu keluarga di bawah kategori ini dinaikkan daripada RM450 kepada RM1,000 satu keluarga;

5. Bantuan orang tua dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

Nicole Tan berkata, bantuan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan juga telah dinaikkan.

“Dua kategori bantuan Kerajaan Negeri iaitu B4U atau Bantuan Am juga telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 dan RM270 kepada RM320.

“Diharapkan kenaikan bantuan ini sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan golongan sasar JKM,” ujar Nicole Tan.

Nicole hulur Ang Pau kepada golongan OKU

Nicole Tan berkata demikian dalam ucapan perasmian ‘Majlis Sumbangan Ang Pau Sempena Gong Xi Fa Chai’ di Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Si Putih di Taman Kian Kee dan Persatuan Kebajikan Vinashini di Kuala Sawah, Rantau.

Nicole Tan bersama ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaran dan Persatuan Ai Xin telah menyerahkan bantuan makanan asas dan ‘Ang Pau’ kepada golongan OKU di pusat jagaan tersebut.

“Diharapkan sumbangan ini dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban mereka.

“Semoga Ang Pau yang diberi dapat juga menceriakan suasana sambutan Tahun Baru Cina,” kata beliau yang juga ADUN Bukit Kepayang.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button