Berita

Nicole: Wujudkan dunia yang inklusif, wanita dan lelaki saling melengkapi

TAMPIN: Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, tema Hari Wanita Sedunia tahun ini ‘Memilih untuk mencabar, mencabar kesaksamaan’, bukanlah untuk mencabar dunia lelaki, tapi berperanan saling lengkap-melengkapi.

“Pemilihan tema kali ini disesuaikan dengan konteks keadaan semasa di mana begitu banyak halangan dan cabaran yang harus dilalui dalam memartabatkan wanita.

“Selain dari isu semasa yang sering kita hadapi seperti keganasan rumahtangga, mangsa pemerdagangan manusia ,diskriminasi gender dan sebagainya, kini berhadapan dengan pandemik Covid-19 pula, telah memberikan dugaan yang lebih mencabar.

“Ada yang kehilangan pekerjaan. Ada pula yang berkerja sebagai barisan hadapan sehingga terpaksa berjauhan dan mengorbankan masa berkualiti bersama keluarga.

“Secara individu, kita semua bertanggungjawab untuk pemikiran dan tindakan kita sendiri sepanjang hari, setiap hari,” ujar Nicole.

Nicole berkata demikian, di sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Arena Dataran Tampin pagi kelmarin yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Hanya 22 negara mempunyai pemimpin wanita

Nicole berkata, wanita boleh memilih untuk mencabar sikap berat sebelah dan ketidaksamaan jantina.

“Kita semua boleh memilih untuk mencari dan meraikan pencapaian wanita. Secara kolektif, kita semua dapat membantu mewujudkan dunia yang inklusif.

“Walaupun sambutan Hari Wanita sudah lebih 110 tahun (sejak 1910), namun hanya 22 negara yang ada pemimpin wanita.

“Namun, bangkitnya wanita bukanlah untuk mencabar dunia lelaki, tapi berperanan saling lengkap-melengkapi,” jelasnya.

Sambutan Hari Wanita serentak di semua lapan parlimen

Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sembilan kali ini agak berbeza dari sebelumnya, memandangkan Negeri Sembilan telah diwartakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan harus mengikuti SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sambutan juga diadakan di tempat yang berbeza mengikut parlimen iaitu parlimen Tampin, Rembau, Jelebu, Seremban, Rasah, Port Dickson, Kuala Pilah dan Jempol.

“Oleh kerana itu, kami telah menghadkan penyertaan peserta hanya seramai 300 orang sahaja di tempat sambutan utama di Tampin dan 50 hingga 100 peserta di kawasan parlimen lain yang terlibat berpandukan SOP MKN yang hanya membenarkan kapasiti sebanyak 50 peratus dari kapasiti premis.

“Pelbagai program menarik telah diadakan semasa sambutan Hari Wanita seperti zumba, gubahan bunga, mengukir henna, kelas jahitan, ceramah kesihatan, seni pertahankan diri dan photo booth.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini juga memberikan peluang kepada wanita menimba ilmu di samping meraikan mereka,” kata Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button