Pelan Tebatan Banjir Sungai Linggi, mengurangkan risiko banjir
SEREMBAN: Pada tahun 2001, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melantik perunding bagi menjalankan kajian kemungkinan Rancangan Tebatan Banjir bagi Sungai Linggi.
Berdasarkan kajian tersebut, beberapa projek secara berfasa telah dijalankan bagi mengurangkan risiko banjir.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Deri Aminuddin Harun berkata, sejak pelaksanaan projek dari tahun 2009 hingga 2015, hasil dari pelaksanaan projek secara berfasa tersebut sepanjang 27km telah disiapkan.
“Manakala sepanjang 10km sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi Fasa 4 yang sedang dilaksanakan dengan kos RM66.6 juta.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui JPS telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi perlaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi Fasa 5 dalam RMKe-12 sebanyak RM 150 juta.
“Dengan terlaksana RTB Sungai Linggi Fasa 5 ini, dijangka akan dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan Rasah dan Rahang,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada hari ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, YB Ng Chin Tsai.