Berita

Negeri Sembilan naik taraf sistem bekalan air di PD

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan projek menaik taraf sistem bekalan air dalam usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Port Dickson.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, gangguan bekalan air yang berlaku sejak akhir-akhir ini di daerah tersebut adalah disebabkan masalah kekeruhan tinggi pada bekalan air mentah.

“Ini berikutan hujan lebat serta halangan sampah sarap, dahan dan pokok pada muka sauk menyebabkan loji tidak dapat memproses air terawat pada kadar yang maksimum.

“Ia juga menyebabkan sebahagian kawasan mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan,” kata beliau di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada Isnin.

Aminuddin berkata, projek menaik taraf itu adalah seperti menambahbaik kolam simpanan dan sumber alternatif bekalan air dari Loji Sawah Raja bagi membantu menambahbaik bekalan air dari Loji Linggi ke Kolam Imbangan Sirusa.

“Perancangan kerajaan negeri melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bagi tujuan meningkatkan dan menjamin bekalan air berterusan ke Daerah Port Dickson turut melibatkan Projek Sumber Air Mentah.

“Ia adalah cadangan Pembinaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi seluas 168 hektar oleh Bahagian Bekalan Air, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang kini dalam proses rekabentuk akhir oleh Perunding RPM Engineers Sdn.Bhd,” katanya.

Jelasnya, selain itu menerusi Projek Bekalan Air Terawat, pihak SAINS dalam proses membuat permohonan kelulusan projek daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi peruntukan dalam Pelan Perniagaan Kelima dan Keenam (Tahun 2021 – 2026).

“Semua projek jika diluluskan akan dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

” Projek berkenaan merupakan pemasangan paip pengepaman baru saiz 800 millimeter daripada Loji Rawatan Air Sawah Raja ke Kolam Bukit Kunyit; pemasangan paip baru saiz 500mm daripada Kolam Teluk Kemang ke Kolam Sirusa 5; membina rumah pam baru serta sistem pam di Kolam Teluk Kemang dan pembinaan Loji Rawatan Air Kampung Barisan dengan kapasiti 150 juta liter sehari,” katanya.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Tun Hairuddin Abu Bakar (BN-Bagan Pinang).

Show More

Related Articles

Back to top button