Berita

BAJET 2022: Geran TVET RM1,000 kepada pelajar KAYNS

Yayasan Negeri Sembilan meluluskan dana RM0.5 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk menggerakkan badan berkanun negeri supaya membantu mengupayakan pasaran buruh di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Yayasan Negeri Sembilan menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) bersetuju memberikan Geran Khas TVET sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang belajar di KAYNS mulai sesi akademik tahun 2021 ini.

“Bagi tujuan ini, Yayasan Negeri Sembilan telah meluluskan dana khas sebanyak RM500,000 untuk tahun 2022.

“Ini adalah sebahagian dari usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan bidang teknikal dan vokasional (TVET) yang berpotensi menawarkan pasaran tenaga buruh yang lebih luas kepada anak-anak negeri ini.

“Saya yakin, kadar enrolmen pelajar di KAYNS akan terus meningkat sehingga 500 orang pelajar berbanding 270 orang pada masa ini, sebaik sahaja blok akademik baharu di Kampus ITYNS Gentam siap sepenuhnya pada awal tahun 2022 nanti,” kata beliau.

Menurut Aminuddin, status kemajuan projek di Kampus ITYNS Gentam adalah 70 peratus pada masa ini.

Aminuddin berkata demikian di Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban pada Jumaat lalu.

TVET – Technical and Vocational Education and Training

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button