BeritaProgram

PENCAPAIAN PH NS: 26,170 peserta PH GEM mendapat manfaat sejak 2018

Program Power House Wanita Geming (PH GEM) merupakan salah satu tawaran manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Seperti yang dijanjikan, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah melaksanakan program ini sejak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 9 Mei 2018.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, seramai 26,170 peserta telah mendapat manfaat daripada program Power House Wanita Gemilang (PH GEM) sejak tahun 2018.

“Saya bangga lebih 95 peratus tawaran manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah berjaya dilaksanakan.

“PH GEM merupakan salah satu tawaran yang signifikan mensasarkan golongan wanita dalam lima sektor iaitu sosio ekonomi yang meningkatkan taraf ekonomi dan kemahiran diri; kesihatan; pendidikan; alam sekitar dan hak asasi.

“Secara keseluruhan 90 peratus peserta PH GEM dalam sektor sosio ekonomi yang berminat dan dikenalpasti telah berjaya menjana pendapatan sehingga kini,” kata Nicole.

Nicole yang juga penaung PH GEM berkata, peserta yang berjaya menunjukkan prestasi telah diberi sumbangan ketuhar elektrik, mesin jahit dan peralatan yang lengkap untuk melukis henna bagi memudahkan operasi perniagaan dan ilmu yang mereka akan dalami di dalam program PH GEM.

“Selain itu, 50 peratus daripada peserta yang mengikuti program PH GEM yang minat dan dikenalpasti telah berjaya menjalankan operasi perniagaan mereka hanya dari rumah dan juga secara atas talian seperti di aplikasi Facebook, Shopee, PG Mall, Instagram dan juga Tik Tok.

“Ini secara tidak langsung memudahkan mereka untuk menguruskan keluarga dan juga rumahtangga,” ujar Nicole kepada Negeri Kita.

PH GEM memperkasa wanita

Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang berkata, wanita juga diberi ilmu pengetahuan tentang penjagaan alam sekitar dengan harapan wanita yang kebanyakan terdiri daripada suri rumah dididik untuk kitar semula minyak masak terpakai untuk dijadikan sabun dan detergen.

“Wanita yang menjalani program PH GEM secara tidak langsung diberi pendidikan dan diberi pendedahan kepada ‘subject matter’ latihan mereka.

“Mereka juga diberi pendedahan tentang hak asasi mereka dari segi undang-undang berkenaan dengan keluarga dan hartanah.

“Peserta PH GEM juga diberi pendedahan kepada isu semasa, Program Hari Wanita pada bulan Mac; Meja Rundingan Wanita pada bulan Julai; Hari Oren (menentang keganasan terhadap wanita) pada bulan November dan Simulasi Sidang Wanita pada bulan Disember,” jelas beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button