Berita

Perluaskan ilmu falak kepada golongan pelajar: Aminuddin

SEREMBAN: Ilmu falak harus diperluaskan kepada golongan pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Beliau berharap Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri seluruh Malaysia khususnya Bahagian Falak dan Sumber Maklumat dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dapat menyebarluaskan ilmu falak kepada golongan pelajar dan semua lapisan masyarakat termasuk yang berada di kawasan luar bandar.

“Teruskan penganjuran program berbentuk ilmiah berkaitan falak agar masyarakat dapat mengambil manfaat dan pengajaran dalam memahami dan mendalami ilmu Falak.

“Sebagaimana yang kita ketahui, ilmu ini amat besar impaknya khususnya dalam pelaksanaan ibadah seharian kita,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan 2021 dan Buku Prosedur Operasi Standard Penentuan dan Semakan Arah Kiblat di Klana Resort Seremban malam tadi.

Umat Islam perlu kuasai pelbagai ilmu

Dalam pada itu, Aminuddin berkata ilmu falak adalah ilmu yang mempelajari tentang pergerakan objek-objek di langit, khususnya bumi, bulan dan matahari dalam garis edarnya masing-masing untuk dipelajari fenomenanya dalam rangka kepentingan manusia demi mentauhidkan Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya.

“Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi umat Islam.

“Penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu merupakan satu keperluan pada hari ini.

“Saya cukup yakin, Muzakarah Falak yang dianjurkan ini mampu membuka paradigma pemikiran setiap peserta untuk melihat kepentingan setiap bidang ilmu yang dianugerahkan oleh Sang Pencipta,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan NegeriĀ  (ADUN) Sikamat.

Muzakarah Falak merupakan program yang dianjurkan secara dwi-tahunan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri-Negeri dengan menggunakan tema pada kali ini Melestarikan Imkanur Rukyah dalam Keluarga Falak Malaysia.

Tema ini dipilih dalam usaha untuk membentuk satu kesepakatan dan persefahaman dalam Kriteria Imkanur Rukyah yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button