Peruntukan RM25 juta atasi gangguan bekalan air di Port Dickson
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan dana berjumlah RM25 juta bagi menangani gangguan bekalan air di Port Dickson.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, perancangan yang dirangka oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dijangka mengambil masa antara 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan.
“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah ‘raked screen’ di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dengan anggaran kos sebanyak RM5 juta selain menggantikan papan suis panel elektrik LRA tersebut dengan kos sebanyak RM3 juta.
“Empat buah tangki perumahan yang berusia dan rosak juga akan diganti dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.
“RM15 juta pula diperuntukkan bagi memasang jajaran paip baharu sepanjang 10 kilometer dari Kolam Telok Kemang ke Kolam Si Rusa,” kata beliau.
Aminuddin berkata, bagi langkah jangka panjang pula, kawasan Linggi kini dalam perancangan untuk dibina Off River Storage yang berkapasiti lebih kurang 250 juta liter per hari (JLH) yang berfungsi sebagai kolam takungan air mentah untuk dibekalkan kepada LRA dan bukan lagi daripada Sungai Linggi.
“Kerajaan Negeri juga merancang untuk membina struktur takungan sedimen di bahagian hulu Sungai Gunung Berembun bagi mengurangkan kadar sedimen yang tinggi mengalir masuk ke Sungai Linggi.
“Untuk makluman, gangguan air kerap berlaku di sekitar kawasan Port Dickson berikutan kadar kekeruhan air di Sungai Linggi yang terlalu tinggi setelah berlakunya hujan lebat di sekitar kawasan Seremban,” jelas Aminuddin.