Berita

Pesta Bola Ngoca berjaya tarik penyertaan 144 pasukan dari seluruh Malaysia

KUALA PILAH: Pesta Bola Ngoca 2021 berjaya menarik peryertaan 128 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bola sepak sawah dari seluruh Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, penyertaan kali ini adalah paling besar berbanding edisi pertama pada tahun 2019.

“Pesta ini berjaya menarik ramai begitu ramai pelancong sehingga semua hotel dan homestay di Kuala Pilah telah penuh ditempah untuk Sabtu dan Ahad (hari ini).

“Selaras dengan misi industri pelancongan iaitu Malaysia – Destinasi Lestari Kaya Budaya; Pesta Bola Ngoca akan dijadikan sebagai satu acara tahunan untuk mempromosikan sukan yang disulami dengan budaya dan warisan tradisi Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Bola Ngoca 2021 di Perkampungan Budaya Terachi pada Sabtu.

Menurut Aminuddin, Ngoca membawa maksud menangkap ikan dengan menggunakan peralatan seperti jala dan lain-lain, telah menjadi satu simbolik aktiviti yang mengimbau nostalgia bagi rakyat Negeri Sembilan, diikuti dengan aktiviti sukan yang digemari ramai iaitu bola sepak; maka terhasil lah Pesta Bola Ngoca ini yang diunikkan dengan lokasi permainan di petak sawah.

“Gabungan elemen-elemen tersebut bertujuan memartabatkan semula acara tradisional kepada generasi baru seterusnya memperkenalkannya kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Di samping itu, pesta ini juga berharapan untuk menjadi satu dorongan untuk membangkit semangat kesukanan, kerjasama serta perpaduan di dalam komuniti.

“Pesta ini dimeriahkan lagi dengan acara ngoca ikan, memanjat tiang licin, menangkap itik, gusti bantal dan basikal titi yang sememangnya akan mengimbas kenangan kepada orang dewasa serta menjadi satu pengalaman baru kepada orang muda,” jelas Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button