Pesta Bola Ngoca ketengahkan Kuala Pilah sebagai destinasi eko-pelancongan
KUALA PILAH: Pesta Bola Ngoca yang dianjurkan setiap tahun adalah bertujuan mengetengahkan Kuala Pilah sebagai destinasi eko-pelancongan yang terkemuka di peringkat negeri dan kebangsaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pesta ini merupakan aktiviti dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan.
“Tahun ini juga merupakan kali ketiga pesta ini dijalankan.
“Pesta ini bertujuan menarik minat orang ramai untuk melancong di negeri ini.
“Semoga usaha ini dapat menarik minat lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk mengunjungi Kuala Pilah khususnya dan Negeri Sembilan amnya, Insya Allah,” kata Aminuddin.
Turut hadir, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang berkenan mencemar duli ke pesta tersebut.