Berita

Projek tebatan banjir Sungai Linggi akan mengurangkan risiko banjir

SEREMBAN: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi Sungai Linggi akan diteruskan dalam Fasa 5 membabitkan peruntukkan RM200 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menunggu kelulusan peruntukkan Kerajaan Persekutuan.

“Sungai Linggi sudah dinaik taraf sehingga Fasa 4, sekarang sedang menunggu kelulusan untuk Fasa 5 dan Insya Allah Fasa 5 akan dimulakan pada tahun hadapan.

“Fasa 5 ini nanti melibatkan projek naik taraf Sungai Linggi dari Kuala Sawah, Rantau hingga ke Jalan Pantai, Seremban sepanjang 20 kiloneter dan ia dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan seperti Rasah dan Rahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nanyang Yap Si Malaysia di Pusat Komersial Oakland 2 hari ini.

Aminuddin sebelum ini pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjelaskan sepanjang 27 kilometer projek RTB berfasa Sungai Linggi sudah disiapkan dari tahun 2009 hingga 2015.

Katanya, manakala sepanjang 10 kilometer lagi sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi Fasa 4 yang menelan kos RM66.6 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button