Berita

Rafie: Aduan peniaga Pasar Sementara Ampangan dan Medan Selera Lama akan ditangani segera

AMPANGAN: Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang diutarakan oleh peniaga di Pasar Sementara Ampangan dan Tapak Medan Selera Lama.

ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abd Malek berkata, keadaan di Pasar Sementara Ampangan dan Medan Selera Lama adalah baik tetapi untuk memastikan keselesaan peniaga dan orang ramai, pihaknya bersama MBS akan berusaha untuk membuat beberapa penambahbaikkan.

“Contohnya di Pasar Sementara Ampangan, air bertakung di tapak peniaga ikan, bekalan elektrik yang tidak mencukupi, keperluan tambahan bumbung dan pembuangan sampah oleh penduduk sekitar di kawasan tempat sampah yang dikhaskan untuk peniaga pasar.

“Manakala permasalahan di Medan Selera Lama pula, masalah debu jatuh dari bumbung, keperluan tambahan bumbung, besi penutup longkang serta bekalan air dan elektrik.

“Insya Allah, kita akan berusaha membantu peniaga di sini untuk berniaga dalam keadaan yang lebih selesa,” kata Mohamad Rafie selepas mengadakan lawatan meninjau permasalahan di dua premis terbabit.

Mohamad Rafie berkata, peniaga ini akan berniaga di pasar sementara ini selama dua tahun enam bulan; sementara Pasar Baru Ampangan yang sekarang dalam pembinaan, siap sepenuhnya.

“Pasar Baru Ampangan adalah pasar moden dengan suasana yang lebih kondusif untuk kemudahan warga Ampangan dan masyarakat sekitar, setinggi empat tingkat.

“Tingkat bawah adalah kawasan pasar manakala Tingkat 1 dan 2 adalah untuk aras tempat letak kereta.

“Tingkat 3 iaitu tingkat yang teratas merupakan dewan orang ramai yang dilengkapkan dengan kemudahan lif, sistem hawa dingin, bilik persalinan dan bilik air,” jelas Mohamad Rafie.

Show More

Related Articles

Back to top button