Berita

Rafie saran Kementerian Pendidikan bekal komputer kepada pelajar tidak berkemampuan

Penting untuk meminimakan permasalahan pendidikan dalam suasana pandemik Covid-19

SEREMBAN:  Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu membekalkan komputer riba (laptop) kepada pelajar dari keluarga yang tidak berkemampuan.

Mohamad Rafie berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di atas permasalahan pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan teruk kepada ekonomi tetapi juga kepada pembangunan pendidikan negara.

“Semua pihak perlu berlaku jujur bahawa hakikat majoriti ibubapa tidak dapat menyediakan kemudahan komputer kepada anak mereka.

“Pentadbiran negara perlu melihat kemungkinan alternatif yang terbaik iaitu untuk membantu membekalkan komputer riba kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

“Usaha ini jika dipersetujui untuk dilaksanakan, ianya juga terpaksa dijalankan secara berperingkat kerana tidak mudah untuk memperolehi kesemua keperluan perkakasan serentak dengan serta-merta kerana ia membabitkan jumlah perkakasan yang agak besar,” ujarnya.

Anggaran 4.5 juta unit komputer bernilai RM5.4 bilion

Menurut Mohamad Rafie, KPM melaporkan bahawa terdapat seramai 4, 987,401 pelajar menurut rekod pada 31 Julai 2020 iaitu 2, 037,433 pelajar sekolah menengah, 2, 741,837 pelajar sekolah rendah dan 208,131 pelajar pra-sekolah.

“Dianggarkan 1.5 juta pelajar berada di institut pengajian tinggi samada awam dan swasta.

“Kajian perlu dibuat daripada hampir keseluruhan 6.5 juta pelajar di negara ini, berapa ramai yang masih tidak mempunyai kemudahan asas komputer yang perlu dibantu oleh kerajaan pada ketika ini.

“Jika kita menganggarkan sekitar 70 peratus pelajar tidak mempunyai kemudahan ini serta sememangnya tidak berkemampuan untuk memperolehi komputer riba, ini bermakna kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membantu menyediakan sekitar 4.5 juta komputer riba.

“Pembelian secara pukal memungkinkan nilai perkakasan bersama perisian (software) asas yang diperolehi mungkin boleh bernilai sekitar RM1,200 untuk setiap unit.

“Ini bermakna kos keseluruhan pakej bantuan khas kerajaan untuk 4.5 juta unit komputer riba akan bernilai RM5.4 bilion,” jelas Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan berkata, peruntukan ini walaupun besar tetapi ianya merupakan pelaburan yang kritikal dan amat penting untuk memastikan kita boleh meminimakan impak permasalahan negara dalam perspektif pendidikan yang kita hadapi ketika ini.

Show More

Related Articles

Back to top button