Berita

Rafie syor KPM sediakan 13 saluran DidikTV KPM

Memastikan keberkesanan TV Pendidikan dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

1. Kita mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan saluran TV Pendidikan DidikTV KPM secara terestrial yang diperkenalkan bermula 17 Februari 2021.

2. Namun keberkesanan DidikTV KPM dengan hanya menyediakan satu saluran untuk 13 peringkat pembelajaran bermula Darjah Satu sehingga Tingkatan Enam Atas adalah diragui.

3. Sewajarnya KPM perlu menyediakan 13 saluran di mana untuk setiap peringkat pembelajaran, ianya memerlukan satu saluran khas yang tersendiri. Sebagai contoh, Darjah Satu memerlukan satu saluran khas, Darjah Dua juga memerlukan salurannya yang tersendiri dan begitulah seterusnya sehingga Tingkatan Enam Atas.

4. Untuk permulaan, kemungkinan KPM menghadapi kesukaran untuk menyediakan prasarana untuk menyediakan 13 saluran serentak namun ia boleh dimulai dengan sekurang-kurangnya lima saluran iaitu saluran TV Pendidikan pertama untuk Sekolah Rendah Bawah (Darjah 1, Darjah 2 dan Darjah 3), saluran TV Pendidikan kedua untuk Sekolah Rendah Atas (Darjah 4, Darjah 5 dan Darjah 6), saluran TV Pendidikan ketiga untuk Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3), saluran TV Pendidikan keempat untuk Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 dan Tingkatan 5) manakala saluran TV Pendidikan kelima adalah khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas.

5. Penyediaan awal lima saluran ini hanya untuk tempoh sementara kemungkinan dalam jangkamasa maksima tiga bulan sebelum kesemua 13 saluran TV Pendidikan dapat disediakan untuk kesemua 13 peringkat pembelajaran di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di negara ini.

6. Pentadbiran negara perlu serius untuk menangani permasalahan pendidikan yang sama terjejas teruk seperti sektor ekonomi dengan impak wabak pandemik Covid-19.

7. Penyediaan 13 saluran TV Pendidikan ini memerlukan perbelanjaan besar namun ianya adalah pelaburan yang kritikal untuk membantu 4,788,418 pelajar yang kini berada dalam sistem persekolahan di negara ini.

8. Untuk memastikan keberkesanan maksima penggunaan saluran TV Pendidikan dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), KPM perlu memastikan guru-guru yang terbabit dalam pengajaran menerusi saluran TV Pendidikan DidikTV KPM ini benar-benar terlatih kerana ianya membabitkan sistem pengajaran secara sehala yang sudah pasti mempunyai permasalahan-permasalahan yang tersendiri.

9. Pada masa yang sama Kementerian Pendidikan Malaysia juga perlu berusaha untuk memastikan setiap pelajar mempunyai peranti samada komputer riba atau ‘tablet’ dan kerajaan juga perlu memastikan pencapaian internet di seluruh negara dipertingkatkan.

10. Berdasarkan anggaran 5 juta pelajar di peringkat sekolah dan anggaran 1.5 juta pelajar di peringkat IPT, jumlah keseluruhan pelajar di negara ini dianggarkan seramai 6.5 juta pelajar.

11. Kerajaan sewajarnya bersedia untuk menyalurkan bantuan untuk kesemua pelajar ini dengan menyediakan peranti yang bersesuaian. Jika kerajaan membekalkan komputer riba dengan nilai RM1,200 seorang pelajar, perbelanjaan yang terbabit untuk kesemua pelajar di negara ini hanya sebanyak RM7.8 bilion manakala jika ‘tablet’ bernilai RM520 dibekalkan, kos yang terbabit hanya bernilai 3.38 bilion.

12. Jika kerajaan membuat penapisan untuk mengecualikan pelajar daripada golongan keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat bantuan peranti, setelah menilai kesemua golongan B40 dan majoriti golongan M40 yang juga terjejas teruk, dianggarkan kerajaan perlu menyalurkan bantuan kepada 70% pelajar dari keseluruhan pelajar di peringkat persekolahan dan IPT iaitu sekitar 4.5 juta pelajar yang terbabit yang perlu dibantu.

Jumlah kos yang terbabit jika KPM membekalkan komputer riba bernilai RM1,200 untuk 4.5 juta pelajar adalah sebanyak RM5.4 bilion dan kos terbabit hanya RM2.34 bilion jika KPM membekalkan ‘tablet’ yang bernilai RM520.

13. Kedua-dua kaedah iaitu penggunaan saluran TV Pendidikan dan peranti perlu dimanafaatkan dalam kaedah PdPR.

14. Pelaburan dalam pendidikan adalah kritikal dalam usaha kita untuk memastikan pengembangan kemajuan negara tidak terjejas walaupun dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat serangan wabak pandemik Covid-19.

15. Permasalahan Covid-19 ini akan berterusan dalam jangkamasa yang tidak menentu dan keadaan ini memerlukan kita bertindak segera untuk menyediakan persediaan yang sewajarnya dalam menghadapi suasana norma baru didalam kehidupan.

YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab Malek,
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan.
ADUN Ampangan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button