Berita

Kerajaan Negeri mahu persimpangan Jalan Tok Dagang dinaik taraf

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan memohon peruntukan MARRIS tahun 2022 sebanyak RM6 juta untuk menaik taraf persimpangan Jalan Tok Dagang – Jalan Seremban/Jelebu.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-Pakatan Harapan) berkata, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya jambatan sedia ada dilebarkan kepada satu lorong lagi supaya kenderaan dari Jalan Tok Dagang hendak ke kiri menghala ke bandar Seremban tidak terhalang oleh kenderaan yang berhenti hendak ke kanan menghala ke Jelebu.

“Bajet kajian rekabentuk telah dimasukkan dalam bajet MBS tahun 2022 sebanyak RM200,000. Di samping itu, MBS akan memohon peruntukan MARRIS sebanyak RM6 juta untuk melebarkan jambatan dan Jalan Tok Dagang sedia ada.

“Untuk makluman, jambatan tersebut dianggarkan telah dibina pada tahun 1960an,” kata Aminuddin dalam Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Lenggeng, YB Ustaz Suhaimi Kassim (Pakatan Harapan) berkaitan masalah kesesakan lalu lintas di persimpangan tersebut.

Menurut Aminuddin lagi, Kerajaan Negeri berpendapat pelebaran jalan dan jambatan perlu dibuat bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan ini.

“Punca kesesakan di simpang tersebut disebabkan Jalan Tok Dagang yang hanya mempunyai dua lorong sahaja.

“Sekiranya kenderaan dari Jalan Tok Dagang berhenti di persimpangan lampu isyarat dan hendak membelok ke
kanan (ke arah Jelebu), maka kenderaan di bahagian belakang tidak dapat bergerak ke depan untuk membelok ke kiri disebabkan jambatan sedia ada adalah sempit,” jelas Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button