Berita

REBIN: Tawaran penghapusan sebahagian hutang peneroka oleh Felda dan pengambilalihan pengurusan kebun

Mutakhir ini warga Felda di seluruh negara dikejutkan dengan tawaran penghapusan sebahagian hutang oleh Felda berikutan pengumuman oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin, melibatkan sejumlah RM8.3 billion. Pada dasarnya tawaran ini adalah baik namun beberapa persoalan timbul dan perlu diteliti semula oleh Felda demi kebaikan semua pihak.

1. Kegagalan peneroka adalah manifestasi kegagalan Felda

Dasar tanam semula yang dipraktikkan oleh Felda sebelum ini ternyata gagal dan memberi kesan yang buruk terhadap produktiviti pengeluaran hasil peneroka. Di antaranya adalah berpunca daripada pemilihan klon atau benih yang tidak bermutu tinggi, kerja-kerja penanaman semula diserahkan kepada kontraktor yang tidak kompiten dan penyelenggaraan tidak mengikut jadual.

Lantaran itu terbitlah beberapa jenis hutang yang terpaksa ditanggung oleh peneroka, di antaranya hutang pembangunan tanam semula, pinjaman sara hidup, pinjaman naik taraf rumah dan lain-lain.

Secara purata setiap peneroka terbeban dengan jumlah hutang besar yang dianggarkan sekitar RM120,000.00 seorang. Natijahnya hasil yang diperolehi sangat tidak memuaskan dan peneroka tidak dapat membayar balik hutang yang ditanggung, yang memberi kesan buruk kepada psikologi sebahagian besar peneroka.

2. Peneroka perlu dilayan dengan lebih adil dan saksama

Felda harus lebih bertanggungjawab dan adil dalam usaha mengurangkan beban hutang yang ditanggung oleh peneroka. Peneroka perlu dilayan sebagai tuan-tuan tanah yang telah pun memiliki hak milik yang sah.

Terma-terma perjanjian sewajarnya mengambil kira hak-hak dan kepentingan tuan tanah yang bersifat adil dan seimbang. Terma-terma perjanjian yang longgar dan tidak memihak kepada peneroka akan menimbulkan pelbagai persoalan dan menjejaskan kredibiliti Felda.

3. Muhasabah diri dan akui kesilapan

Memahami aspirasi peneroka adalah jalan terbaik dalam usaha Felda merungkai permasalahan yang dihadapi oleh peneroka khususnya berkaitan permasalahan hutang. Perlu diinsafi bahawa peneroka adalah manusia biasa yang telah melalui pelbagai kesusahan dan liku-liku kehidupan dalam usaha membangunkan tanah rancangan bersama Felda.

Sudah sampai masanya Felda menghargai pengorbanan peneroka dengan memberi layanan yang sewajarnya sebagai tuan tanah dengan mengambil kira suara mereka. Jangan diulangi kesilapan lampau sebagaimana kegagalan dasar tanam semula dengan memaksa peneroka menerima apa sahaja yang diputuskan tanpa mengambil kira kepentingan peneroka yang natijahnya gagal di pertengahan jalan.

Penstrukturan hutang dan tawaran pengurangan sebahagian hutang peneroka adalah suatu usaha murni yang akan menurunkan sedikit sebanyak bebanan hutang peneroka. Namun hasrat ini perlulah dizahirkan melalui perjanjian yang penuh tanggungjawab dengan mengambil kira masa depan peneroka dan waris-waris mereka.

Memaksa peneroka dan waris-waris mereka untuk menerima perjanjian yang tidak seimbang dan pincang hanyalah usaha sia-sia umpama menarik peneroka Felda ke lembah kesusahan yang lebih dalam.

Sekian, terima kasih.

Rebin Birham,
Ketua Cabang KeADILan Jempol,
Pegawai Penyelaras DUN Palong,
Ahli Majlis Pimpinan KeADILan Negeri Sembilan,
Anak Generasi Kedua Felda Palong 10.

18 Julai 2021.

Show More

Related Articles

Back to top button