Berita

RM228 juta bina Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2: Aminuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM228 juta bagi membina Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ngoi-Ngoi Fasa 2 dekat sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek ini juga sangat penting kepada Malaysia Vision Valley (MVV) kerana ia merupakan nadi utama dalam memastikan permintaan bekalan air bersih dan terawat yang meliputi kawasan Seremban, Sendayan dan Nilai yang pesat membangun.

“Kerajaan Negeri meletakkan keutamaan dalam memastikan tiada gangguan bekalan air di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Bagaimanapun, rakyat juga perlu sedar bahawa ianya merupakan peranan setiap individu dalam memastikan tiada lagi penggunaan air yang tidak terkawal dan pembaziran,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin, projek ini adalah bagi meningkatkan kapasiti bekalan air sehingga 150 Juta Liter perHari (JLH) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM228 Juta menerusi pembiayaan pajakan bulanan yang telah ditetapkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 ini mampu menampung sehingga 150 juta liter sehari.

“Kerja pembinaan projek ini dijangka siap pada tahun 2024 dengan keseluruhan skim projek ini berupaya menambah kapasiti serta menampung permintaan tinggi bekalan air terawat,” kata Aminuddin di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button