Samsung labur RM6 bilion bina kilang bateri kenderaan elekrik
SEREMBAN: Samsung SDIEM melabur RM6 bilion bagi membina sebuah kilang membuat Sel Bateri Kenderaan Elektrik (EV) di Sungai Gadut, yang akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kilang ini akan mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya para belia di Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan kemasukkan pelaburan baru yang berkualiti, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi, seperti Samsung SDIEM bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang teguh khususnya di Negeri Sembilan, sebagaimana yang telah digariskan di dalam Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan tahun 2021–2045.
“Kerajaan Negeri juga menerapkan konsep dasar mesra pelabur dalam menarik pelaburan baru/pembesaran dan menerusi INVEST NS setiap projek pelaburan baru akan sentiasa diberi fasilitasi bagi memudahcara urusan setiap projek yang melabur di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin di majlis pecah tanah pembinaan kilang tersebut.
Aminuddin berkata, sepanjang tempoh tahun 2017 hingga 2021, Kerajaan Negeri Sembilan berjaya meningkatkan momentum jumlah pelaburan di negeri ini:
Tahun 2017 – RM1.41 bilion.
Tahun 2018 – RM2.86 bilion.
Tahun 2019 – RM3.68 bilion.
Tahun 2020 – RM7.93 bilion (Merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah tempoh 10 tahun).
Tahun 2021 – RM5.76 bilion (Penurunan disebabkan impak pandemik Covid-19).
“Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MIDA kerana sentiasa membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan Negeri Sembilan sentiasa menjadi destinasi pilihan para pelabur.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan, dengan ini mengucapkan terima kasih kepada pihak Samsung SDI Co.Ltd atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Malaysia dan Negeri Sembilan secara khususnya.
“Kehadiran Samsung di Negeri Sembilan sebagai salah satu pelabur utama yang telah bertapak selama lebih 30 tahun telah membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat dan saya pasti pelaburan baharu Samsung ini bakal memberi impak positif dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.
Aminuddin berharap hubungan baik dan kepercayaan industri di dalam dan luar negara terhadap Negeri Sembilan terus kukuh dan Negeri Sembilan sentiasa menjadi destinasi pelaburan terbaik buat para pelabur.