Berita

Satu lagi aktiviti perlombongan haram nadir bumi dikesan

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan mengesan satu lagi aktiviti yang disyaki perlombongan haram nadir bumi (REE) ditemukan di kawasan tanah pertanian di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu pada Khamis lepas. selepas aktiviti sama di kesan di Kampung Sikai, Seri Menanti di sini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau mendapat maklumat berhubung aktiviti itu pada jam 5 petang hasil maklumat orang ramai.

“Susulan itu Pejabat Tanah Galian (PTG) Negeri Sembilan diarahkan untuk mengambil tindakan.

“Pada jam 10.30 malam kita menemui lokasi berkenaan di lot tanah persendirian dan nampak di situ masih aktif namun tiada tangkapan dibuat di lokasi.

“Saya dimaklumkan lot tanah kerajaan juga terlibat, bagaimanapun keluasan sebenar aktiviti itu masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2023 peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah di Stadium Bola Ngoca di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap masyarakat dapat memberikan maklumat sekiranya terdapat aktiviti seumpama ini kerana ia dijalankan di kawasan yang agak pendalaman dan sukar dikesan.

“Pemberi maklumat juga akan mendapat ganjaran yang dijanjikan.

“Aktiviti perlombongan REE itu dilihat lebih mudah berbanding aktiviti korek pasir atau kuari kerana melibatkan aktiviti kecil namun hasilnya lumayan.

“Kita di peringkat pusat sedang mengkaji kesan-kesannya dan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan REE masih di peringkat akhir,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah.

Susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan serta Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button