Skim sewa milik ditawarkan untuk rumah PPR Ladang Tanah Merah
PORT DICKSON: Kerajaan menawarkan skim sewa untuk milik atau rent to own (RTO) untuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung).
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, untuk memudahkan lagi rakyat memiliki rumah, Kerajaan bersetuju menawarkan skim sewa untuk milik atau rent to own (RTO) dengan tempoh sewaan selama lima sehingga 20 tahun.
“Selepas menyewa selama lima tahun, penduduk akan dipertimbangkan untuk memiliki rumah yang didiami dengan membuat bayaran penuh (full settlement).
“Sekiranya masih tidak berkemampuan untuk membuat bayaran baki rumah, tempoh sewaan akan diteruskan sehingga 20 tahun dan rumah tersebut menjadi hak milik mereka dengan syarat telah memenuhi kelayakan,” kata Aminuddin di Majlis Penyerahan Surat Tawaran Unit Kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR), Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung) pada Isnin.
Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima.
“PPR Ladang Tanah Merah terdiri daripada 100 unit rumah kediaman teres setingkat dengan keluasan 700 kaki persegi dengan reka bentuk tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Semoga mereka memanfaatkan rumah ini sebaiknya demi keluarga tercinta, Insya-Allah,” ujarnya.