Berita

SPM 2025 : Negeri Sembilan catat peningkatan GPN 4.16 berbanding tahun lalu

 

SEREMBAN: Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan peningkatan dalam Gred Purata Negeri (GPN) sekali gus mengatasi purata kebangsaan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar memaklumkan bahawa GPN negeri ini bagi tahun 2025 ialah 4.16 berbanding 4.18 pada tahun sebelumnya menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 mata.

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM Tahun 2025 bagi Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dan lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika dalam Sidang Media Laporan Keputusan SPM yang berlangsung di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan disini.

Menurut beliau, pencapaian ini juga menandakan trend peningkatan berterusan selama empat tahun berturut-turut sejak 2022 hasil komitmen semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar.

“Seramai 17,384 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025 di Negeri Sembilan meningkat berbanding 16,927 calon pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, seramai 14,001 calon atau 94.43 peratus layak dianugerahkan sijil SPM. Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan setiap calon diberi peluang untuk mencapai kecemerlangan,” katanya lagi.

Dari segi pencapaian cemerlang, seramai 22 calon berjaya memperoleh semua A+ manakala 754 calon (5.02 peratus) memperoleh keputusan semua A merangkumi A+, A dan A-. Selain itu, bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 26.48 peratus, berbanding 25.83 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi keseluruhan turut diperkukuh dengan peningkatan dalam jumlah calon yang lulus semua mata pelajaran, iaitu 34.93 peratus berbanding 34.77 peratus pada tahun 2024.

Dalam masa sama, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar terus menunjukkan penyusutan apabila perbezaan menurun kepada 0.14 mata, berbanding 0.21 mata sebelum ini.

“Situasi ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan dalam merapatkan jurang pencapaian pendidikan,” katanya.

Dari segi prestasi mata pelajaran, sebanyak 34 daripada 59 mata pelajaran mencatatkan peningkatan. Antara mata pelajaran teras yang menunjukkan peningkatan ialah Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Islam, dengan Pendidikan Islam merekodkan peningkatan tertinggi. 

Di peringkat nasional, Gred Purata Kebangsaan (GPK) SPM 2025 dianggarkan sekitar 4.60 mata menunjukkan prestasi keseluruhan yang stabil. Namun, pencapaian Negeri Sembilan dengan GPN 4.16 adalah lebih baik berbanding purata kebangsaan.

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan usaha berterusan untuk memastikan sistem pendidikan kekal bermutu, inklusif dan memberi peluang adil kepada semua calon,” katanya.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2025 bagi Negeri Sembilan mencerminkan pencapaian yang memberangsangkan dan diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta berakhlak mulia.

Show More

Related Articles

Back to top button