Berita

STEM Evolution lahirkan pelajar berinovasi, guna sumber hutan

Pelajar diajar berfikiran lebih kreatif berdasarkan sumber alam

SEREMBAN: Pertandingan STEM Evolution boleh melahirkan pelajar sekolah yang lebih berinovasi dan berteknologi dengan menggunakan sumber hutan untuk kepentingan generasi masa depan.

Pertandingan ini mengetengahkan bakat pelajar melalui karya seni fotografi, grafik dan multimedia menggunakan teknologi terkini untuk menunjukkan kepentingan, keunikan dan potensi hutan dalam kehidupan seharian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, melalui pertandingan ini para pelajar didedah dan diajar berfikiran lebih kreatif dan inovatif berdasarkan sumber alam yang terdapat di dalam hutan.

“Hal ini adalah kerana melalui pengamatan ke atas flora, fauna dan nilai-nilai estetik yang terdapat di dalam hutan, seseorang itu boleh menterjemahkan perkara-perkara yang dilihat itu ke dalam bentuk lain seperti rekabentuk alat-alat yang canggih bagi kegunaan manusia.

“Secara tidak langsung, Negeri Sembilan akan dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang lebih kreatif dan inovatif pada masa hadapan,” kata beliau di Majlis Penyampaian Hadiah Stem Evolution Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Klana Resort Seremban pada Isnin.

Pertandingan STEM bawa Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa

Aminuddin yakin Pertandingan STEM ini akan menjadi platform terbaik kepada 194,000 pelajar di 477 buah sekolah di Negeri Sembilan untuk berfikir serta mengetengahkan pelbagai inovasi, penemuan baharu dan merekabentuk produk yang hebat bagi diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Pertandingan STEM ini telah berjaya membawa Negeri Sembilan ke persada antarabangsa seperti Pertandingan F1 In Schools dan Pertandingan Inovasi Sains Teknologi (PISTEK),” katanya.

Majlis ini dianjurkan bagi menghargai dan meraikan para pemenang Pertandingan STEM Evolution Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan pada bulan Julai hingga September dengan tema ‘Kepentingan Hutan Dalam Kehidupan’.

Terdapat tiga kategori pertandingan iaitu Fotografi Alam Semulajadi, Poster Digital dan STEM Show.

Bagi pertandingan fotografi, sebanyak 1,100 penyertaan diterima bagi kategori sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas dan tingkatan 6.

Manakala kategori poster digital menerima 981 penyertaan dan kategori STEM show menerima 42 penyertaan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button